Seminggu aku bercuti. Balik ke kampung di Perlis. Rindu hirupan udara pagi. Yang mana boleh terasa aroma kehijauannya menusuk laju ke dalam rongga nostril. Angin sepo-sepoi bahasa meniup boleh membuat ruang rongga yang sesak jadi lapang.Balik ke rumah kecil keluarga aku. Rumah kecil ini kukuh berdiri di atas tanah yang dikeliling oleh bendang sejak 20 tahun yang lalu. Kekal dengan bentuknya asal. Hanya sedikit penambahan dilakukan oleh ayah.
Dulu ini hanyalah kawasan hutan. Penuh dengan pokok-pokok besar. Asalnya tanah ini milik seorang pakcik yang aku sendiri tidak pasti siapa dia. Kemudian dek kerana memerlukan wang untuk menghantar anaknya melanjutkan pelajaran dia menjualkan kepada ayah. Dari situ tanah ini bertukar tuan. Hutan belukar yang tidak terjaga itu diusahakan oleh ayah sehinggalah ianya menjadi seperti apa yang ada sekarang.
Kawasan rumah ini sememangnya luas. Tak pasti berapa keluasannya. Di sekeliling kawasannya ditanam dengan pokok-pokok mempelam/mangga. Di belakangnya pula adalah ladang mempelam/mangga. Bermacam-macam jenis mempelam/mangga. Dulu didirikan juga di dalam kawasan itu tempat berteduh puluhan bebiri yang mana semasa kecil dulu aku dan adik diberikan tugas untuk membantu ayah menjaga kawanan bebiri itu. Sekarang ladang itu diusaha kembali oleh ayah dengan menanam pokok-pokok yang baru setelah terbakar beberapa tahun yang lalu. Walaupun jadual kerja hariannya semakin sibuk berbanding dulu dia masih sempat dengan projek-projek mininya. Memang macam tu sejak dulu lagi pun.
Banyak sekali pengalaman dan nostalgia di rumah di tengah sawah ini. Sekali-sekala pulang pasti menggamit kembali memori lama.



